Jumaat, 20 Februari 2009

Sedikit Petua Untuk Memilih



Orang Kuat Hanya Akan Bersama Orang Kuat
Biarkan Orang-orang Lemah Berkumpul dan Bersukaria di Alam Mereka

Inilah satu hakikat yang saya dapat setelah bersama dengan gerakan Islam untuk satu tempoh yang tidak sedikit. Hakikat ini semakin saya hayati dengan beberapa peristiwa yang berlaku dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini. Benarlah apa yang diungkapkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadis yang maksudnya:
“Jiwa-jiwa ini seumpama tentera yang dibariskan. Mana-mana yang kenal-mengenal akan berkumpul dan mana-mana yang tidak kenal-mengenal akan berjauhan.” (Riwayat Muslim)
Imam Nawawi menafsirkan:
“Para ulama’ berkata bahawa topiknya adalah tentang perkumpulan yang berkumpul atau jenis-jenis manusia yang berlainan. Adapun perkumpulan itu adalah kerana sesuatu sifat yang Allah jadikan untuk mereka saling berkenalan …”
Imam Khatabi pula berkata:
“…. sesungguhnya jiwa-jiwa ini ada dua jenis yang berlawanan. Apabila ia masuk ke dalam jasad di dunia, jasad-jasad manusia akan berkumpul atau berjauhan berdasarkan sifat jiwa yang diciptakannya. Manusia yang baik akan cenderung kepada manusia yang baik manakala manusia yang jahat akan cenderung kepada manusia yang jahat. Wallahu a’lam.”
Tidaklah begitu sukar sebenarnya untuk kita memahami persoalan kenapa ada banyak organisasi Islam di tanahair dan kenapa satu-satu organisasi Islam itu mempunyai pemimpin dan pendokong yang lebih kurang sama sifatnya. Kesesuaian jiwa untuk bersama dengan sesetengah jenis manusia rupa-rupanya adalah fitrah manusia yang Allah ciptakan dari awal penciptaan manusia. Sesiapa yang memahami fitrah dan sunnah alam ini, akan redha dengan apa yang berlaku di alam dakwah di tanahair.
Apabila Diminta Memilih ….
Adik-adik muda tidak sepatutnya terdedah kepada isu pemilihan seawal mereka menjinakkan diri di dunia dakwah. Pembinaan mereka masih di peringkat tunas, kematangan mereka belum teruji dan maklumat yang mereka ada juga terlalu terbatas.
Tetapi kadang-kadang ada pemimpin organisasi Islam yang gelojoh dan takut pupus berusaha mati-matian untuk memberikan kata dua kepada adik-adik muda. Mereka makin yakin bahawa uslub memberikan kata dua ini berhasil setelah melihat beberapa kerat adik-adik muda yang termakan hujah-hujah emosi mereka. Apalah agaknya yang ada dalam fikiran mereka? Saya sungguh tak faham. Tanggungjawab mereka berat tetapi hujah-hujah liar yang mereka kumpulkan cukup menunjukkan bahawa mereka tidak buat kerja lain selain dari ini. Atau mungkin itu sahajakah yang mereka mampu lakukan di dalam dakwah ini?
Nasihat saya kepada adik-adik muda yang berdepan dengan isu ini adalah untuk melihat dan membandingkan.
Ingatlah bahawa organisasi dakwah yang kuat akan hanya mengumpulkan orang-orang kuat. Lihatlah tokoh-tokoh dan pimpinannya. Lihatlah juga ahli-ahlinya untuk dijadikan ukuran.
Organisasi dakwah yang lemah pula akan dipenuhi dengan orang-orang yang kurang mahir melakukan kerja dakwah, tidak ada produk dakwah, bercakap lebih dari kerja, masa muda dipenuhkan dengan agenda peribadi memenuhi tuntutan kerjaya … dah dekat pencen baru nak jadi fulltimer dakwah dan pengikutnya pula hanyalah pak turut yang tidak akan melawan walau pun apa yang berlaku dalam organisasi tersebut berlawanan dengan ilmu yang dipelajarinya.
Sesuatu organisasi dakwah ada budayanya tersendiri yang boleh diukur dengan pandangan mata kasar. Budaya itu lahir hasil dari tindakan ahli-ahlinya yang sama sifat dan tabiatnya antara satu sama lain. Budaya ini boleh dirasai oleh sesiapa yang mendekatinya. Saya pernah muda seperti adik-adik sekelian. Ketika muda saya mendekati beberapa organisasi Islam sebelum saya memilih. Ada budaya yang boleh ditafsirkan setelah mendengar kata-kata mereka dan bergaul dengan mereka.
Dakwah yang benar akan sentiasa berkembang. Produk-produk dakwah akan lahir hasil kerjasama setiap ahli di dalamnya. Jika ahli-ahli cenderung kepada penyebaran dakwah, produknya akan berligar di situ. Jika kecenderungannya adalah siasi, produknya sudah tentu lain dari yang pertama. Jika kecenderungannya hanya untuk menunggu peluang dan memperalatkan organisasi dakwah lain dari belakang, produknya akan lahir dalam bentuk yang tidak boleh dijangka. Untuk mengukur sesuatu organisasi dakwah itu berkembang atau tidak, bandingkanlah keadaannya 10 tahun lepas dengan hari ini. Bilangan ahlinya bertambah atau tidak? Pemimpinnya bertukar dan ada pelapis atau tidak? Kematangannya dalam membuat keputusan makin meningkat atau tidak? Semakin mampukah ianya untuk menangani isu ummah secara direct atau kekuatan dan kemampuannya masih di takuk lama?
Organisasi dakwah yang kuat akan meningkatkan kemampuan anda jika anda bergabung dengannya. Dari tahap anda hanya tahu amal tajmik ia akan meningkatkan anda ke arah penglibatan amal am dan terbuka dan seterusnya amal siasi. Organisasi yang lemah pula hanya akan berpusing di satu putaran dan memusingkan anda juga di situ. Anda akan tua di putaran tersebut bersama-sama dengan mereka. Mereka memang suka begitu. Jika anda sama tabiat dengan mereka, anda juga akan suka begitu. Atau anda akan meninggalkannya lalu mencari amal lain sesudah bosan dengan putaran tersebut.
Akhirnya ….. kuat … lemah ….jenis apakah anda untuk anda membuat pilihan?


hasil nukilan daripada ustaz muhammad fauzi ...moga2 kita mendapat manfaat